KPKT hargai kecemerlangan 713 orang di Majlis Apresiasi Kecemerlangan 2022

KPKT Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC) dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada 713 orang penerima di Majlis Apresiasi Kecemerlangan Tahun 2022.

Majlis Apresiasi Kecemerlangan KPKT 2022

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming telah menyampaikan Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC) dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada 713 orang penerima di Majlis Apresiasi Kecemerlangan Tahun 2022 KPKT yang diadakan di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam, Selangor pada hari ini.

Majlis Apresiasi Kecemerlangan Tahun 2022 KPKT ini diadakan bertujuan untuk menzahirkan pengiktirafan dan penghargaan kepada seluruh warga KPKT yang telah menunjukkan prestasi kerja cemerlang sepanjang tahun 2022. Seramai dua orang penerima PPC dan 711 orang penerima APC terdiri daripada warga Kementerian, Jabatan dan Agensi di bawah KPKT terlibat dalam majlis ini.

Majlis Apresiasi Kecemerlangan KPKT 2022

Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC) merupakan pingat yang dianugerahkan kepada pegawai yang telah menunjukkan kecemerlangan luar biasa dalam tugas yang diamanahkan serta aktif dalam penglibatan dan sumbangan di luar tugas rasmi termasuk aktiviti kesukarelaan, persatuan, kelab, kemasyarakatan, sukan, kebudayaan dan sebagainya yang boleh mengharumkan nama organisasi dan negara.

Kedua-dua penerima PPC dalam majlis tersebut merupakan kakitangan daripada Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) yang telah dipilih berdasarkan sumbangan besar di peringkat Jabatan, Kementerian, Kebangsaan mahu pun luar negara selain aktif dalam aktiviti sosial, sukan dan kemasyarakatan.

Majlis Apresiasi Kecemerlangan KPKT 2022

Manakala Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pula merupakan penghargaan dan pengiktirafan kepada pegawai yang telah memberi perkhidmatan cemerlang berdasarkan prestasi tahunan pegawai.

Bilangan penerima APC paling tinggi adalah terdiri daripada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) iaitu seramai 391 orang. Ini diikuti dengan bilangan penerima kedua tertinggi iaitu seramai 88 orang daripada kakitangan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan warga Kementerian seramai 86 orang.

Majlis Apresiasi Kecemerlangan KPKT 2022

Selain itu, penerima juga adalah termasuk pegawai daripada Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), Jabatan Perumahan Negara (JPN), Jabatan Landskap Negara (JLN), Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata (TPPS) dan Institut Latihan Pembangunan KerajaanTempatan (I-KPKT).

Menurut Nga, “Kementerian sentiasa menghargai peranan warga KPKT sebagai sebuah pasukan besar yang sentiasa mementingkan kerja berpasukan dalam memastikan penyampaian perkhidmatan dapat dilaksanakan dengan cemerlang.

Majlis Apresiasi seperti ini diharapkan akan terus menyuntik semangat warga kerja KPKT untuk sentiasa menambahbaik mutu perkhidmatan secara lebih efisien selari dengan matlamat Malaysia MADANI untuk memberikan perkhidmatan terbaik demi kesejahteraan rakyat.”

Avatar photo

CJMY

For any inquiries or to submit a press release, please send an email CJ Editor at [email protected].

Add comment