Perda memacu usahawan generasi muda melalui latihan perniagaan

Program-program ini telah memanfaatkan para usahawan generasi muda Melayu Bumiputera di Pulau Pinang dengan menjadikan mereka usahawan dalam ertikata sebenar.

Bidang perniagaan dan keusahawanan merupakan satu bidang yang giat diceburi oleh generasi muda Bumiputera Melayu. Penglibatan mereka dalam bidang ini amat digalakkan oleh kerajaan terutamanya untuk orang Melayu kerana ia adalah satu cara untuk mempertingkatkan taraf ekonomi orang Melayu.

Menyedari ini, Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang atau lebih dikenali sebagai Perda yang dipertanggungjawabkan untuk meningkatkan tahap sosioekonomi kaum Bumiputera Melayu di Pulau Pinang telah menjalankan pelbagai program dan aktiviti untuk tujuan ini.

Program-program ini telah memanfaatkan para usahawan Melayu Bumiputera di Pulau Pinang dengan menjadikan mereka usahawan yang menjalankan perniagaan dengan sistematik dan teratur supaya mereka jadi usahawan dalam ertikata sebenar.

Perda menerajui usahawan generasi muda

Salah seorang dari mereka adalah Mohd Nazri Ibrahim yang merupakan pemilik sebuah syarikat modifikasi automotif Pit Stop Bodykit.

Beliau memberitahu bagaimana Perda telah banyak membantu beliau menjadi seorang usahawan yang berjaya. Beliau pada mulanya seorang bekas pelajar IKM di bidang automotif memulakan bisnes secara kecil-kecilan sejak tahun 2009.

Untuk memperbesarkan bengkelnya, beliau telah menghubungi Perda pada tahun 2012 untuk bantuan modal. Beliau telah mendapat pinjaman perniagaan yang mana kos faedahnya adalah sebanyak 0%. Ini telah membantu beliau dalam operasi dan juga penambahan peralatan perniagaan.

Manakala seorang lagi usahawan muda, Nur Adila Anuar, yang merupakan pemilik Syarikat Empayar Pastri yang mengeluarkan roti pizza juga dibantu oleh pihak Perda.

Pada mulanya beliau hanya membuka sebuah kedai membekalkan bahan kek, pastri dan biskut. Semasa Covid melanda, beliau terpaksa menutup perniagaan beliau dan membuka bengkel kecil di rumah untuk memproses pizza dan diedarkan ke kedai yang menjual barangan beku atau frozen.

Kemudian beliau telah mendapat bantuan dari Perda pada tahun 2021 dan mengikuti kelas latihan mengenai pemasaran, dokumentasi, profil syarikat dan lain-lain aspek perniagaan yang penting untuk menjadikan beliau seorang usahawan yang betul-betul berpengetahuan di bidang ini.

Menurutnya lagi, dari kursus yang telah diberi, beliau lebih yakin untuk berinteraksi dengan pelanggan terutamanya apabila beliau punya profil syarikat, katalog dan sebagainya.

Program keusahawanan anjuran Perda

Bagi Izazul Amira Nasir Putra seorang pensyarah yang bertukar karier menjadi usahawan, Perda banyak membantu beliau dalam mendedahkan beliau dalam aspek perniagaan sebenar. Beliau telah mengikuti kursus tentang penjenamaan, kira-kira, penulisan, penyediaan akaun dan sebagainya.

Menurutnya masalah yang paling besar beliau hadapi sewaktu memulakan bisnes beliau adalah periklanan, pengurusan dan aspek sumber manusia. Ini semua telah beliau dapat jawapan dari kursus-kursus yang disediakan pihak Perda.

Beliau mencadangkan agar pihak Perda mengadakan kursus tentang cara bagaimana hendak berniaga menggunakan media sosial. Hasil dari pendidikan yang diterima dari Perda, beliau sekarang punya sebuah pusat tuisyen, sebuah pusat transit dan sebuah Taska. Penuntut beliau di tempat beliau berumur dari 2 tahun sehingga yang tamat SPM.

Mohd Asri Baharom yang merupakan Pengurus Besar Perda telah menerangkan tentang matlamat dan kaedah yang Perda lakukan untuk tujuan ini. Beliau menyatakan bagaimana Perda telah memberi didikan komprehensif untuk penyediaan akaun yang dapat menjadikan bisnes usahawan tadi lebih sistematik.

Sewaktu ditemubual, program Klik Klik Akaun sedang dijalankan dengan usahasama pihak SME Corp di mana peserta program diajar pengendalian aliran tunai atau cash flow dan yang seumpamanya.

Beliau juga menerangkan bahawa selain fokus untuk perniagaan, Perda juga telah dipertanggungjawabkan untuk membekalkan rumah untuk rakyat Pulau Pinang. Untuk itu mereka perlu membina rumah mampu milik yang bernilai kurang dari RM50,000.

Mendidik dan membentuk generasi muda

Ini adalah untuk mengimbangi taraf sosioekonomi Bumiputera Melayu dan mengimbangi tahap sosioekonomi antara kaum di Pulau Pinang. Ianya telah bermula sejak 20 tahun yang lepas.

Di segi pendidikan untuk anak-anak pula, pihak Perda telah menjalankan kelas tuisyen, seminar dan bengkel untuk pelajar yang sedang bersekolah. Projek terbesar Perda ialah mewujudkan satu institusi pendidikan bagi lepasan SPM yang dipanggil PERDA Tech.

Institusi ini memfokuskan ke atas pendidikan TVET iaitu memfokuskan tentang sains dan teknologi. Ianya menawarkan sijil, diploma dan Sijil Kemahiran Malaysia.

Kursus yang ditawarkan adalah dibidang kimpalan, elektronik, rekacipta fesyen, automotif, kejuruteraan pertanian, multimedia interaktif dan pembikinan atau manufacturing.

Ia adalah satu pendidikan transit bagi lepasan SPM yang gagal untuk menyertai sebarang IPTA atau IPTS. Disamping itu juga ianya memberikan pendidikan tentang dunia perniagaan
untuk menggalakkan mereka menjadi pemilik syarikat.

Di sini jelas bahawa Perda merupakan satu institusi yang penting bagi pembangunan insan di Pulau Pinang. Pengerusi Perda pula adalah Dato Shaik Hussein Mydin yang telah memberikan manfaat kepada masyarakat Bumiputera Melayu di Pulau Pinang. Beliau juga bertanding di DUN N05 Sungai Dua pada Piliharaya Negeri kali ini dengan 3 manifesto yang berpaksikan kepada prihatin, pendidikan dan perumahan.

Avatar photo

CJMY

For any inquiries or to submit a press release, please send an email CJ Editor at [email protected].

Add comment