Tembok sekolah condong, Pihak berwajib digesa turun padang

Tembok sekolah condong, Pihak berwajib digesa turun padang

Oleh Ahmad Fadzly Esa

Bagai retak menanti belah, begitulah yang boleh digambarkan pada struktur tembok bangunan Sekolah Kebangsaan  Satu Sultan Alam Shah,  Petaling Jaya yang condong sekali gus mengundang bahaya kepada guru serta 500 pelajar sesi pagi dan petang.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sek Keb Satu Sultan Alam Shah, Ahmad Azlan Abd Aziz berkata kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 pagi disedari oleh dua orang pengawal keselamatan yang bertugas kemudiannya memberitahu pihak  sekolah pada 10 April lalu.

Menurutnya, susulan  itu, pihak sekolah telah memaklumkan termasuk menyerahkan surat dan faksimili kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD),Petaling Utama  untuk mendapat bantuan.

“Beberapa hari selepas itu,  kelihatan dua orang pegawai PPD menyiasat dan pihak sekolah memberikan laporan terperinci kepada mereka berhubung struktur tembok yang hampir runtuh untuk makluman Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Selangor.

“Malah pihak sekolah dimaklumkan, bahawa JPN tidak mempunyai peruntukan untuk membaik pulih tembok sekolah berkenaan,” katanya kepada Komunitikini ketika ditemui tengahari tadi.

See also  Malaysians overwhelmingly support end to single-use plastics

Ahmad Azlan berkata,  PPD meminta pihak sekolah supaya menghubungi Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk melakukan kerja meroboh serta membaik pulih tembok.

Menurutnya, berdasarkan hasil maklum balas yang diterima, MBPJ menyatakan kerja meroboh dan membaik pulih tembok diluar bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Pada masa yang sama, MBPJ mencadangkan kepada pihak sekolah untuk menghubungi Jabatan Kerja Raya (JKR) menyebabkan kami kebingungan dan merasakan seolah-olah seperti diperkotak katikkan.

“Apa yang menghairankan, sudah dua minggu berlalu, tiada sebarang tindakan diambil daripada pihak berwajib, kami khuatir keselamatan guru dan  pelajar kerana bila-bila masa sahaja tembok tersebut boleh runtuh.

Katanya, pihak sekolah sudah melakukan pelbagai usaha untuk memastikan keselamatan diri dan pelajar terjamin tetapi kecewa dengan maklum balas yang diterima daripada pihak berwajib.

“Saya turut  mendapat pelbagai aduan daripada ibu bapa yang bertanyakan sampai bila masalah ini akan berlarutan.

See also  Coway and EcoKnights join forces for a greener future

“Sehubungan itu, saya menggesa pihak berwajib turun padang meninjau keadaan tembok sekolah ini yang akan runtuh pada bila-bila masa sahaja,”katanya.

Sementara itu, Komunitikini difahamkan bangunan sekolah dibina pada tahun 1962.

Meskipun sudah dua minggu berlalu,sesi persekolahan masih diteruskan,tiada tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa bagi menangani masalah tersebut.

Tinjauan mendapati hampir 80 peratus keadaan tembok sekolah tersebut condong dan tidak mustahil akan runtuh akibat cuaca yang tidak menentu sejak kebelakangan ini.

Sehubungan itu, dalam kesibukan menghadapi pilihan raya kecil Hulu Selangor,baik pemimpin daripada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR), janganlah terlalu sibuk berkempen sahaja, tanggungjawab untuk berkhidmat kepada masyarakat  harus diutamakan.

Atau perlukah kita menunggu ada mangsa yang terkorban, barulah muncul pemimpin datang memberikan bantuan, masa itu jugalah suruhanjaya siasatan ditubuhkan, tidak mustahil juga, tuding menuding siapa yang patut dipersalahkan turut  terjadi antara satu sama lain.