Tourism Malaysia lancar pakej Cuti-Cuti Keluarga

Tourism Malaysia melancarkan 11 Pakej Cuti-Cuti Keluarga dengan kerjasama Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga (MATFA) di Ekspo Kasih Madani.

Tourism Malaysia melancarkan 11 Pakej Cuti-Cuti Keluarga dengan kerjasama Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga (MATFA) di Ekspo Kasih Madani yang berlangsung selama dua hari di Dataran Putrajaya bermula hari ini sempena Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2023.

Sebanyak tujuh pengendali taman tema menawarkan tawaran pakej menarik kepada pelancong domestik bermula 4 November sehingga 30 November 2023. Tawaran pakej adalah serendah RM23 seorang untuk pembelian tiket masuk dengan tempahan minimum 10 orang sehingga ke Pakej 3 Hari 2 Malam (3H2M) bermula RM1,088 merangkumi 2 dewasa dan 2 kanak-kanak beserta bilik penginapan, sarapan pagi, tiga aktiviti dan tiket masuk ke taman tema.

Tempoh sah pakej adalah sehingga 30 Jun 2024. Antara pengendali taman tema yang mengambil bahagian termasuklah Sunway Lagoon (Camp Out!), SplashMania Water Park Gamuda Cove, THE TOP Penang Theme Park, Ripley’s Adventureland dan Jungle Gym Genting Highlands, Wet World Water Park Shah Alam dan Amverton Cove Golf & Island Resort.

See also  Luxurious Silver Cruise ship makes first stop in Sarawak

Selain itu, orang ramai juga berpeluang mendapatkan tawaran diskaun pakej pelancongan yang ditawarkan oleh 86 pemilik produk pelancongan di laman web Go Tifi (www.gotifi.com), iaitu satu platform sehenti untuk tempahan perjalanan pelancongan secara dalam talian yang mengguna pakai teknologi kecerdasan buatan (AI).

Dato’ Dr. Ammar Abd. Ghapar, Ketua Pengarah Tourism Malaysia berkata, pelancaran Pakej Cuti-Cuti Keluarga itu secara tidak langsung diharap dapat membantu fokus kerajaan untuk memartabatkan institusi kekeluargaan sekali gus merancakkan lagi industri pelancongan domestik.

“Tourism Malaysia berharap setiap keluarga dapat mengambil peluang ini untuk bercuti di dalam negara dan mencipta memori bersama insan tersayang menerusi tawaran eksklusif Pakej Cuti-cuti Keluarga.

See also  STB reopens upgraded visitor information centre in Miri

“Kita memahami asas kesejahteraan bermula daripada ikatan kasih sayang erat yang dicurahkan oleh ibu bapa sebagai tunjang kekuatan dan nilai murni ini dapat dipupuk serta dimanifestasikan dengan meluangkan lebih masa menerusi percutian bersama keluarga,” katanya.

Bertemakan “Keluarga Harmoni, Negara Madani”, Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2023 dianjurkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia.

Avatar photo

CJMY

For any inquiries or to submit a press release, please send an email CJ Editor at [email protected].

Add comment