Kakitangan LHDN Sabah anjur sukan antara jabatan

Kakitangan LHDN Sabah anjur sukan antara jabatan

Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri, Dr Mohd. Shukor Hj. Mahfar telah merasmikan Pesta Sukan Hasil Sabah 2011 di Komples Sukan Batu Lima, Sandakan.

Sukan bukan sahaja satu kegiatan yang boleh meredakan ketegangan atau masalah yang berlaku di pejabat, tetapi ia juga boleh dijadikan sebagai landasan untuk mengukuhkan hubungan silaturrahim.

Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri (LHDN), Dr Mohd. Shukor Hj. Mahfar berkata, ia juga boleh menjadi medan untuk mengenal sahabat baru  serta pusat pertemuan bekas rakan-rakan sekerja yang telah berpindah ke cawangan yang lain.

“Penganjuran pesta sukan yang julung-julung kali diadakan di negeri ini juga memberikan peluang kepada peserta dan atlet mencurahkan keringat, mempamerkan kemahiran bermain serta kekuatan mental dan fizikal demi diri dan pasukan masing-masing”

“Segala ketegangan atau masalah yang berlaku di pejabat dapat dilupakan buat seketika dengan memberi tumpuan kepada acara yang dipertandingkan dengan semangat kesukanan yang tinggi,” katanya lagi semasa berucap merasmikan Pesta Sukan Hasil Sabah 2011 di Komples Sukan Batu Lima, Sandakan.

See also  Battle of the Reds: Legends lineup and trophy unveiled

Shukor berharap agar peserta bertanding dengan jiwa yang kompetitif serta mental yang fokus, dan menjadikan setiap perlawanan sebagai perlawanan yang adil tanpa berlaku tipu muslihat atau aksi-aksi yang melampaui batas-batas kesukanan.

Dalam kejohanan sukan tersebut, Zon Barat iaitu daerah Tawau dan Labuan telah muncul juara keseluruhan Pesta Sukan Hasil Sabah 2011 dan sekaligus mengalahkan tiga lagi zon yang turut bertanding.

Dalam pesta sukan kali ini, sebanyak 13 acara dipertandingkan melibatkan empat zon daerah yang mewakili jabatan-jabatan LHDN Sabah dan juga penyertaan warga Hasil negeri Sarawak dalam beberapa acara sukan.

 

Gary Louis Supi