Selepas piala dunia, giliran raja buah berpesta

Selepas piala dunia, giliran raja buah berpesta

Musim durian kini sudah tiba dan merupakan saat yang paling dinantikan penggemar raja buah segenap lapisan masyarakat di negara ini.

durian

Musim durian kini sudah tiba dan merupakan saat yang paling dinantikan penggemar raja buah segenap lapisan masyarakat di negara ini.

Tinjauan Komunitikini mendapati pengguna jalan raya terutamanya di kawasan sekitar Shah Alam dan Klang  tidak melepas peluang untuk singgah di mana-mana  gerai yang menjual durian.

Selain membawa pulang  ada di antara mereka yang terus sahaja menikmati durian di gerai  bersama rakan dan keluarga.

Peniaga Liew Chu Hong, 45,  berkata, musim durian luruh sudah tiba dan ramai pemilik  dusun durian mengambil kesempatan menjual buah durian di tepi jalan dan di pasar malam.

durian (2)

Malah, beliau yang berasal dari Segamat sangat berpuas hati dengan harga durian ketika ini yang masih tinggi iaitu kira-kira RM3 sekilogram.

“Ia memandangkan banyak tempat durian belum gugur ditambah pula keenakan buah durian dibawa dari Segamat yang menjadi sebutan.

“Durian Segamat memang terkenal di mana-mana kerana ulas yang enak, lemak, manis dan berwarna kuning serta menjadi rebutan orang ramai,” katanya.

Menurutnya, jika mempunyai masa, dia dan anaknya akan menjual sendiri buah durian itu di tepi jalan dan jika tidak berkesempatan, ia akan dijual kepada peraih.

Difahamkan, kawasan-kawasan tanaman komersial durian seperti di Johor, Perak, Kedah, Kelantan dan Pahang.

Sehingga kini hanya tujuh klon durian sahaja yang disyorkan untuk penanaman secara komersial di semenanjung Malaysia.

Di antara klon-klon durian yang disyorkan adalah D24, D99, D123, D145, D158, D159 dan D169.

Gara-gara makan durian berlebihan

Di sebalik keseronokan musim durian yang baru tiba, masyarakat di negara ini dikejutkan dengan berita dikaitkan dengan raja buah ini.

“Saya tidak serik, saya tetap akan makan durian.”

Demikian kata Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang yang dibenarkan pulang hari ini selepas menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat sesak nafas, 7 Julai lalu.

Menurutnya, kejadian itu tidak akan menyebabkannya berhenti memakan durian kerana teruja dengan keenakan raja buah tersebut.

“Mungkin saya akan berhenti makan durian selama satu hingga dua bulan kerana rasa trauma sedikit.

“Keenakan memakan durian terutamanya daripada jenis Musang King memang tidak dapat digambarkan,” katanya.

Ahmad Lai dikejarkan ke hospital berkenaan akibat sesak nafas selepas menikmati durian di Pesta Durian dan Promosi Daging Kambing anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Dewan Serbaguna Parlimen.