Kira-kira 95 kamera litar tertutup (CCTV) akan dipasang di sekitar kawasan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menjelang akhir tahun ini.
Timbalan Datuk Bandar MBPJ, Puasa Md Taib berkata dengan penambahan CCTV, diharap dapat mengurangkan kadar jenayah di daerah Petaling Jaya
Menurutnya, setakat ini sudah ada 22 CCTV dipasang di sekitar Petaling Jaya sejak 4 tahun lalu.
” Sebanyak 50 buah CCTV disumbangkan daripada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) manakala daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pula sebanyak 24 buah CCTV dijangka pemasangan siap sepenuhnya pada Jun ini.
“Sehingga kini, bilik kawalan pemantauan CCTV masih dalam pembinaan akan dipantau oleh MBPJ dan Polis sendiri di mana kos penyelenggaraan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan pusat dan kerajaan negeri yang menyumbangkan peralatan tersebut dengan anggaran RM100,000 bagi sebuah CCTV secara keseluruhannya,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Remaja Bebas Jenayah di Dewan Sivik MBPJ, pagi tadi.
Sebanyak 27 buah sekolah daerah Petaling Jaya mengikuti program yang dianjurkan dengan kerjasama daripada MBPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.
Ditanya mengenai lokasi pemasangan CCTV di daerah ini, katanya, MBPJ sudahpun berhubung dengan polis untuk memasang CCTV di lokasi strategik yang tidak diketahui masyarakat umum.
“Semua penduduk Petaling Jaya akan dipantau oleh pihak berwajib bukan sahaja memberi fokus kepada jenayah. Kita juga akan memantau keadaan seperti banjir kilat dan kesesakan lalu lintas di daerah ini,”katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamed berkata, buat masa sekarang pihaknya tidak boleh memberitahu jumlah spesifik indeks penurunan jenayah.
Menurutnya, bagaimanapun, jika dilihat dari segi keseluruhan kawasan dengan bilangan CCTV yang ada, ia terlalu sedikit.
Katanya, dengan adanya penambahan CCTV, ia sekali gus dapat membantu mengurangkan jenayah dari segi kesedaran penjenayah itu sendiri yang mengetahui kawasan yang berada di bawah pengawasan CCTV.
“Selain itu, CCTV berperanan membantu daripada segi siasatan, ia sebagai pelengkap dalam respons polis sekiranya berlaku jenayah di mana kadar jenayah di Petaling Jaya berjaya mencatatkan penurunan dalam tempoh tiga bulan sejak kebelakangan ini,”katanya.