FAM lulus 26 pemain import sertai Liga Malaysia

FAM lulus 26 pemain import sertai Liga Malaysia

Jawatankuasa Pemeriksaan, Pemantauan dan Ketelusan FAM telah meluluskan seramai 26 pemain import bagi mewarnai arena bola sepak Malaysia menjelang musim depan.

Jawatankuasa Pemeriksaan, Pemantauan dan Ketelusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah meluluskan seramai 26 pemain import bagi mewarnai arena bola sepak Malaysia menjelang musim depan.

Menurut FAM dalam satu kenyataan, jawatankuasa yang bermesyuarat semalam telah menimbangkan permohonan 35 pemain import dari persatuan dan kelab-kelab yang beraksi di dalam Liga Super dan Liga Perdana.

Keputusan untuk memberi kelulusan kepada 26 pemain itu dibuat berdasarkan kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh Persekutuan Bola sepak Antarabangsa (FIFA).

“Daripada jumlah tersebut, 26 pemain telah diluluskan, termasuk empat diluluskan bersyarat sehingga sijil ITC (International Transfer Certificate) diterima,” menurut kenyataan itu.

Syarat itu menetapkan bahawa status pemain ditentukan oleh kelab terakhir yang disertai, misalnya jika dari Amerika Latin dan Eropah, pemain mestilah dari Divisyen 2 ke atas, manakala bagi negara Asia, pemain mestilah dari Divisyen 1 dan ke atas.

See also  Belleview triumphs at Piala Ketua Menteri Pulau Pinang

Antara pemain yang mendapat kelulusan FAM untuk beraksi dalam Liga Super dan Liga Perdana adalah Marlon James dan Bruno Sebastian Martelotto dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Esseh Sodjine Sougan Adah (Johor), Danilo Rafael Dos Santos Vivaldo (Kedah), Mohamad Ghaddar, Dennis Agayare dan Emmanuel Ayaah Okine (Kelantan) dan Ramez Dayoub (Selangor).

Sementara itu, empat pemain — Daniel Soares Neves (Kedah), Mbele Lelo (Selangor), Evans Chusilo (MP Muar) dan Christian Contes (Perlis) — diluluskan secara bersyarat.

Bagaimanapun, permohonan pemain Terengganu, Tercio Nunes Machado dan Oladimeji Mathew Talabi dari pasukan kelab Negeri Sembilan, Betaria FC, yang juga pendatang baru dalam Liga Perdana, telah ditarik balik.

See also  Badminton: Malaysia's sporting pride on the global stage

Jawatankuasa itu juga membuat keputusan tidak meluluskan permohonan tujuh pemain atas sebab-sebab tidak memenuhi syarat-syarat FAM yang mengikuti piawaian Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Mereka ialah Richard Offiong (Johor), Tito Fernando Da Silva Pinto dan Tiago Lima Leal (Johor FC), Bianchi Parades Santiago (Felda United), Marquen Nuquen Goncalves (Negeri Sembilan), Sergey Ivanov (Pahang) dan Helmi Loussaief (Selangor PKNS).

– Bernama