Sebalik makna ‘gam’ dan BERSIH dalam industri media

Sebalik makna ‘gam’ dan BERSIH dalam industri media

Bagi sesetengah penggiat seni pula, mereka berpendapat istilah ‘gam’ diklasifikasikan – penggiat seni tidak mematuhi etika, penampilan dan imej tidak digemari, digambarkan penularan ‘budaya kuning’ tidak sihat dikhuatiri menjadi ikutan di kalangan masyarakat dan remaja.

Bila sebut sahaja perkataan ‘gam’ dalam industri media khususnya hiburan di negara ini, sememangnya ia cukup sinonim di kalangan penggiat seni muncul sekitar awal 90an.

Sedikit masa dahulu, istilah tersebut membawa maksud negatif membuat artis kita menjadi phobia serta takut dilabelkan artis ‘gam’.

Bukannya artis itu ditangkap berkaitan penyalahgunaan dadah atau kesalahan serius seperti membunuh tetapi kerana melanggar peraturan dan garis panduan etika imej pemakaian.

Istilah ‘gam’ membawa maksud larangan keras menyiarkan sebarang bentuk promosi nyanyian atau persembahan artis di stesyen televisyen dan radio tempatan ‘difatwakan’ oleh kementerian penerangan dan dikawal kerajaan pada ketika itu.

Bagi sesetengah penggiat seni pula, mereka berpendapat istilah ‘gam’ diklasifikasikan – penggiat seni tidak mematuhi etika, penampilan dan imej tidak digemari, digambarkan penularan ‘budaya kuning’ tidak sihat dikhuatiri menjadi ikutan di kalangan masyarakat dan remaja.

Mengungkap kembali sejarah, isu ini sudah lama tercetus sekitar tahun 90an, pada ketika itu bekas menteri penerangan, allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat mengenakan ‘gam’ terhadap artis berambut panjang.

Gara-gara rambut panjang, Search dan Wings terpaksa akur

Menjadi mangsa kekangan pada ketika itu, dua kumpulan rock lagenda tanahair, Search dan Wings apabila tidak benar membuat persembahan di khalayak ramai dan di kaca televisyen kerana berambut panjang.

Sejarah industri hiburan tercipta apabila upacara memotong rambut disiarkan secara langsung di kaca televisyen disaksikan jutaan rakyat negara.

Selepas isu ‘gam’ reda, apabila menteri penerangan baru digantikan selepas pilihan raya umum (PRU) berikutnya, peraturan ketat telah dilonggarkan kerana ramai di kalangan penggiat seni dan karyawan termasuk rakyat jelata mula membantah.

See also  KLIAVS 2024: Celebrating 30 years of audiovisual excellence

Malah, mereka menyatakan penggiat seni dan artis itu digambarkan – insan seni yang ‘absurd’, tidak boleh dikongkong dari segi imej dan pemakaian serta bebas berkarya.

Penggiat seni intelektual dan BERSIH

Kini, sudah sedekad isu ‘gam’ berlalu, tiba-tiba isu ini timbul semula apabila mula dikenakan keatas penggiat seni dikatakan ‘condong’ menghadiri majlis anjuran parti pembangkang dan mereka dikaitkan sertai perhimpunan BERSIH pada 9 Julai lalu.

Bila puisi jadi senjata

Sasterawan negara, Pak Samad menjadi mangsa pertama selepas beliau diundang pada majlis anjuran BERSIH hanya kerana mendeklamasi sajaknya bertajuk ‘unggun bersih’.

Selang beberapa hari selepas itu, beliau dipanggil memberi keterangan di balai oleh pihak berkuasa.

Mengamati susuk tubuhnya yang kecil, rambut dan janggut serba putih ditambah faktor usianya sudah lewat senja itu, mustahil beliau boleh menggugat keamanan dan kestabilan negara tanpa mengangkat senjata.

Tetapi dengan hanya mendeklamasikan puisi dalam beberapa baris rangkap, ia seolah-olah menjadi mimpi negeri kerajaan memerintah, memang benar kata Pak Samad dan para karyawan ‘puisi kini sudah jadi senjata’.

Bila hadiri program ilmiah jadi sasaran

Penggiat seni menjadi mangsa seterusnya, model, pelakon dan pengacara Malaysia Hari Ini (MHI), Wardina Saffiah pula di ‘gam’ kerana menghadiri program berbentuk ilmiah dianjurkan di Selangor, salah satu negeri dikuasai parti pembangkang.

Beliau menafikan penglibatan dalam parti politik sebaliknya menyatakan menerima undangan khas selaku artis atau moderator berkongsi ilmu dan pendapat kepada masyarakat setempat.

See also  KLIAVS 2024: Celebrating 30 years of audiovisual excellence

Undangan itu merupakan sumber pendapatan menjadi periuk nasi kedua, selain menjadi hos pengacara tetap, rakyat memandang beliau sebagai ikon dan idol di mata mereka.

Bila kartun jadi ancaman

Bukannya sahaja penggiat seni, pelukis karikatur, Zunar atau nama sebenar Zulkiflee  S M Anwar Ulhaque turut menjadi mangsa.

Dua buah buku ‘Gedung kartun’ dan ‘Cartoon-o-phobia’ di ‘gam’ daripada dipasarkan di negara ini kerana didakwa karya berbentuk satira dan menghentam kerajaan.

Bagaimanapun, beliau menerima penghargaan di luar negara dan menjadi ikon kepada anak muda seluruh negara meminati bidang karikatur ini.

Yang terbaru, Ustaz Zamri pernah mengendalikan siri program rancangan islamiah ‘adik-adikku’ dan sedang mengacarakan program dakwah di salah sebuah rangkaian stesyen televisyen terkemuka pula di ‘gam’.

Ini kerana gambar beliau mulai tersebar dalam internet beberapa hari kebelakangan ini menyertai perhimpunan BERSIH pada 9 Julai lalu.

Timbul persoalan istilah ‘double standard’ dikenakan keatas penggiat seni di negara ini.

Sebagai contoh, mengapa tiada tindakan ‘gam’ dikenakan keatas penggiat seni menghadiri program perhimpunan sejuta belia di Putrajaya anjuran kerajaan baru-baru ini.

Mereka juga seperti kebanyakan rakyat bebas menyokong mana-mana parti dan menyuarakan pendapat selaras dengan prinsip demokrasi diamalkan di negara ini sejak 53 tahun merdeka.

Secara kesimpulannya, sudah sampai masanya menteri penerangan, komunikasi dan kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, organnya serta sistem dalam industri media dirombak sebelum dan selepas pilihan raya umum akan datang.