Empat warga asing sedang dicari polis bagi membantu siasatan tiga kes bunuh pada Februari, Mei dan Jun tahun ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata satu kes melibatkan warga Bangladesh dikenali sebagai Norisham yang ditemui mati oleh majikannya di sebuah kilang besi di Taman Industri Selesa, Taman Taming Jaya, Kajang pada 7 Mei lepas.
Berikutan itu, polis sedang mencari rakan sekerja mangsa di kilang sama, lelaki warga Myanmar bernama Aung Zaw Lat, 22, yang melarikan diri selepas kejadian, katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Mohd Adnan berkata polis juga sedang mencari seorang wanita warga Indonesia Herlina Ubolwati Simanjutak bagi membantu siasatan kes bunuh warga Indonesia yang hanya dikenali sebagai Darno di Stesen Keretapi Komuter Batu Tiga, Subang Jaya pada 8 Mei lepas.
Herlina yang dipercayai teman wanita Darno telah menelefon si mati untuk mengajaknya ke tempat kejadian sebelum mangsa dibunuh oleh beberapa orang yang juga dipercayai warga Indonesia, katanya.
Sementara itu, polis masih mencari dua adik beradik warga Myanmar, Saw Myint Aye dikenali sebagai Pendek dan Saw A Kyew dikenali sebagai Adik yang kedua-duanya dalam lingkungan 30-an bagi membantu siasatan kematian seorang
warga Myanmar Saw Kyaw Kyaw, 30.
Kyaw Kyaw ditemui mati di asrama pekerja di Jalan Sungai Pinang 5/7 Pulau Indah Pelabuhan Klang pada 20 Feb lepas dengan kesan kelar pada lehernya.
Mohd Adnan meminta orang ramai yang melihat atau mengenali mereka supaya menghubungi balai polis berdekatan.
– Bernama