Cityliner sedia semula operasi bas di NS mulai Selasa

Cityliner sedia semula operasi bas di NS mulai Selasa

KTB akan menyediakan semula perkhidmatan bas henti-henti melalui perkhidmatan Cityliner di 10 laluan di Negeri Sembilan mulai hari ini, yang sebelum ini dihentikan.

Konsortium Transnasional Bhd (KTB) akan menyediakan semula perkhidmatan bas henti-henti melalui perkhidmatan Cityliner di 10 laluan di Negeri Sembilan mulai hari  ini, yang sebelum ini dihentikan.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata keputusan itu dibuat selepas kerajaan negeri dan KTB mencapai persetujuan menerusi satu perjanjian persefahaman (MoU) hari ini.

Katanya menerusi perjanjian tersebut, KTB memberi jaminan perkhidmatan bas Cityliner akan dipulihkan selepas kerajaan negeri bersedia menubuhkan satu tabung khas yang dinamakan Tabung Amanah Pengangkutan Awam Negeri Sembilan.

“Operasi perkhidmatan bas Cityliner di seluruh Negeri Sembilan akan dimulakan semula pagi esok. Ini adalah satu dasar di mana kita bersetuju untuk memberikan sedikit pertolongan untuk kita memberikan setiap pengguna suatu imbuhan.

“Setiap kilometer yang dilalui syarikat ini dan berapa kekerapannya, kita akan beri subsidi. Tapi bukan subsidi kepada pihak bas tetapi ini adalah untuk kemudahan orang ramai,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani MoU tersebut.

See also  BJAK offers free road tax renewals, millions to benefit

Pada majlis itu kerajaan negeri diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan manakala Cityliner diwakili Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi KTB, Tengku Hasmadi Tengku Hashim.

Majlis tersebut disaksikan Mohamad dan Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar.

Rabu lepas, Cityliner yang menjalankan perkhidmatan bas henti-henti di 10 laluan di negeri ini menamatkan perkhidmatan mereka dengan alasan tidak sanggup lagi menampung kerugian.

Antara laluan yang terlibat ialah Seremban ke Nilai-KLIA, Port Dickson-Telok Kemang, Tampin, Rantau, Senawang, Linggi, Sikamat, Rasah Jaya dan Kajang.

Mohamad berkata pengwujudan tabung tersebut bertujuan mengelak kejadian sama berulang dan memastikan orang ramai dapat menikmati perkhidmatan bas dengan sempurna.

Katanya MoU tersebut akan berkuat kuasa sehingga 31 Jan tahun depan dan menyerahkan kepada SPAD untuk memperkenalkan satu dasar bagi menyelesaikan masalah tersebut, selepas tarikh itu.

See also  Senator proposes revival of Feri Malaysia service

“Jika masih belum ada satu sistem konkrit diterima pakai di seluruh negara, kita akan teruskan sistem persefahaman ini selepas 31 Jan dan akan buat satu model perniagaan di mana kita akan meneruskan kerjasama dengan pihak Cityliner,” katanya.

Katanya buat permulaan kerajaan negeri akan menyediakan sebanyak RM580,000 sebulan untuk tabung tersebut.

Sementara itu, Syed Hamid mengalu-alukan langkah kerajaan negeri dan Cityliner yang menjalinkan persefahaman demi menjaga kepentingan pengguna.

Katanya model perniagaan bas henti-henti juga perlu dilihat semula kerana kebanyakkan model yang diamalkan syarikat bas sedia ada tidak berorentasikan keuntungan.

“Kita kena tengok model perniagaannya yang membolehkan orang ramai mendapat perkhidmatan dan syarikat yang mengendalikan mendapat keuntungan,” katanya.

– Bernama