Orang ramai dipelawa kunjungi Mini Karnival LA21

 

Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan menganjurkan Mini Karnival Local Agenda (LA) 21 bertempat di AEON (Jaya Jusco) Bukit Tinggi pada 1 Oktober ini.

Pegawai Perancang Bandar MPK, Ruzaana Abdul Rahman berkata Mini Karnival LA 21 anjuran MPK ini akan bermula dari jam 8.30 pagi hingga 6 petang pada tarikh tersebut.

“Mini Karnival LA 21 Klang yang julung kali diadakan ini adalah untuk mendapatkan penyertaan aktif di kalangan masyarakat di dalam perancangan demi kebaikan bersama.

“Mini Karnival ini juga bertujuan mendekatkan masyarakat tentang pengisisan ilmu pengetahuan dan memberi pendedahan tentang program-program yang telah dan akan dilaksanakan pihak berkuasa tempatan (PBT)  dan Jabatan yang berkaitan,” katanya.

Menurut Ruzaana, Mini Karnival Local Agenda 21 Klang itu bertemakan hari tanpa beg plastik dan sampah sarap menggalakkan orang ramai memelihara alam sekitar disamping menikmati acara-acara yang bakal diadakan.

“Pelbagai acara menarik antaranya ialah pertandingan melukis dan mewarna, pertandingan fotografi, pertandingan rekacipta produk bahan kitar semula semulajadi, pertandingan rekacipta pakaian dari alam sekitar, pertandingan booth pameran terbaik dan banyak lagi.

Menurutnya lagi, Mini Karnival LA21 ini bakal dijadikan acara tahunan selain memberi panduan kepada masyarakat untuk menyumbangkan idea dan memberi kerjasama dalam setiap aspek pembangunan fizikal, ekonomi, sosial dan alam sekitar, secara berterusan

“Pihak kami mengajak warga Klang dan orang ramai datang beramai-ramai ke AEON Bukit Tinggi bagi memeriahkan Mini Karnival LA21 Klang pada 1 Oktober nanti,” katanya.