A. Rashid: Monalisa ilham potret Mahsuri

Ramai antara kita pernah melihat beberapa lukisan potret wajah lagenda Mahsuri di dalam majalah dan internet.

Tetapi potret Mahsuri yang paling digemari dan telah diterima oleh umum adalah hasil karya pelukis tanahair iaitu Abdul Rashid Abdul Razak yang lebih dikenali umum sebagai A.Rashid.

Lukisan Mahsuri ini dihasilkan semasa satu pertandingan melukis di Langkawi pada tahun 1995 dan lukisan beliau telah memenangi tempat pertama.

Lukisan tersebut menjadi rujukan ramai kerana ekspresi wajah Mahsuri yang unik yang melambangkan kejujuran, kesedihan serta perasaan hampa akibat difitnah.

Semasa beliau mencari idea dan sumber untuk menghasilkan lukisan wajah Mahsuri, karya agung oleh pelukis terkenal Leonardo Da Vinci iaitu potret Monalisa telah menjadi inspirasi kepada A.Rashid.

Potret yang memenangi tempat pertama tersebut kini dipamerkan untuk jualan di Galeri Senilukis Persatuan Pelukis Melayu Pulau Pinang di Lebuh Chulia, Georgetown Pulau Pinang.

Walaupun lukisan Mahsuri beliau memenangi tempat pertama tetapi hadiah berupa wang tunai RM30,000 yang dijanjikan oleh penganjur pertandingan tidak diberi sehingga hari ini. Maka beliau mengambil keputusan untuk menjual potret terkenal ini dengan harga RM30,000.

Selain mengusaha galeri seni, beliau juga menyandang jawatan sebagai presiden bagi Persatuan Pelukis Melayu Pulau Pinang dan menjadi tutor seni di galeri beliau.

Galeri beliau telah dibuka dan dirasmikan pada tahun 2007 dan lebih 200 karya pelukis Melayu Pulau Pinang dipamerkan di situ.

Beliau juga pernah mengadakan beberapa pameran berkumpulan dan solo untuk tujuan promosi serta menghimpunkan pelukis Melayu berkongsi idea dan pandangan dalam menghasilkan sesuatu karya, memberikan tumpuan terhadap budaya, adat resam dan masyarakat umum.

“Sejak kecil lagi ayah saya telah menjadi inspirasi untuk berkarya sebab beliau juga merupakan seorang pelukis poster komersial. Saya mula mengambil bahagian dalam pertandingan melukis sejak berumur 9 tahun.” ujarn Rashid yang lahir di Bukit Mertajam.

Galeri beliau dibuka secara percuma setiap hari kecuali Ahad mulai 11 pagi hingga 7 malam.

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE