Karya penulis Malaysia dapat sambutan di Frankfurt

Karya penulis Malaysia dapat sambutan di Frankfurt

Beberapa karya penulis Malaysia berjaya menembusi pasaran dunia apabila berjaya dijual di Pesta Buku Antarabangsa Frankfurt, yang berakhir Ahad.

Karya berkenaan berjaya dijual oleh seorang ejen sastera, Linda Tan Lingard yang berpangkalan di Kuala Lumpur, dan kini berada di sini bagi mencari pembeli berpotensi untuk karya penulis Malaysia.

Menyifatkan perkara itu sebagai satu kejayaan besar, Tan, yang merupakan pengarah Yusof Gajah Lingard Literary Agency Sdn Bhd, memberitahu Bernama bahawa maklum balas antarabangsa terhadap karya penulis Malaysia ‘amat bagus’.

“Kami berjaya menjual beberapa tajuk kepada pembeli asing dan saya yakin lebih banyak lagi karya yang menjanjikan pulangan perniagaan yang baik.

“Saya dapat rasakan di pesta buku ini sikap keterbukaan yang lebih luas di pihak pembeli kerana mereka berhasrat mencari karya dari tempat yang mempunyai budaya berbeza serta tidak bertutur dalam bahasa Inggeris,” katanya ketika ditemu bual.

Agensi berkenaan, yang mengkhusus dalam karya fiksyen dan buku kanak-kanak, ditubuhkan pada 2009 untuk mempromosi pelukis ilustrasi Malaysia.

“Pada dasarnya, saya ke sini untuk menjual karya penulis Malaysia kepada pembeli asing, namun saya juga meninjau kalau-kalau ada buku yang sesuai untuk penerbit di Malaysia, terutama fiksyen yang bagus serta cerita kanak-kanak,” katanya.

See also  AITX Asia Interactive Travel Expo brings affordable travel

“Saya telah berunding, contohnya, dengan seorang penerbit buku India dikenali sebagai Preeti Gill dari New Delhi, berhubung hak penerbitan sebuah koleksi cerita pendek yang saya rasa mampu menarik minat pembaca di Malaysia.

“Sebuah lagi buku yang menarik perhatian saya mengisahkan seorang wanita India yang menjadi pembantu rumah, dia diberi layanan buruk oleh majikannya, jadi dia mengambil keputusan untuk belajar serta berjuang menuntut haknya,” katanya.

Tan berkata walaupun penulis serta karya dari budaya yang berbeza sentiasa dianggap menarik, namun pembaca di Malaysia lebih cenderung memahami cerita dari negara Asia lain terutama India kerana terdapat banyak persamaan ciri-ciri sosial dan budaya antara kedua-dua negara.

“Saya juga perhatikan di pesta buku ini, terdapat beberapa negara seperti Finland, Belgium dan Brazil yang mengambil langkah menaja buku dan terjemahan secara agresif,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia Azmi Shahri berkata pesta buku lima hari itu lebih daripada memenuhi jangkaan peserta Malaysia yang mengambil bahagian dan ditempatkan di pavilion Malaysia.

See also  AITX Asia Interactive Travel Expo brings affordable travel

Beliau berkata usaha untuk menjalin hubungan dengan penerbit Arab yang dijalankan dua hari lepas di pavilion Malaysia, yang menyaksikan kehadiran pelbagai penerbit Arab bertemu rakan perniagaan dari Malaysia, membuka peluang perniagaan baru kepada kedua-dua pihak.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Kementerian Pelajaran Malaysia Zahri Aziz pula berkata beliau akan mengkaji prestasi negara di pesta buku itu selepas kembali ke tanah air.

“Saya bercadang mengadakan satu pertemuan dengan pihak berkenaan bagi mengenal pasti kaedah dan cara meningkatkan eksport kita serta cuba membahagikan produk kita untuk rantau berbeza, selain negara Arab, yang secara khusus menjadi sasaran kita pada pameran kali ini.

“Malaysia mengeluarkan kira-kira 16,000 karya setiap tahun, dan kita menyasarkan untuk meningkatkan jumlah ini kepada 26,000 mulai tahun depan. Saya sedar ini bukan tugas yang mudah bagi mereka yang terlibat, namun ia juga bukan sesuatu yang tidak realistik,” katanya.
– Bernama